Peranan seorang pendidik sebenarnya bukan hanya sekadar mengajar, memberi ilmu ataupun memastikan murid memahami apa yang di ajar. Tugas seorang pendidik samada seorang guru mahupun tutor lebih meluas lagi sebenarnya.  Salah satu perkara yang amat penting adalah mengesan ketidakupayaan yang di hadapi oleh seseorang pelajar yang kadang kala terlepas pandang oleh ibubapa pelajar itu sendiri. Hal ini menyebabkan seorang pendidik perlu mempunyai sedikit atau lebih ilmu berkaitan hal ini.

Bagi pendidik yang peka dengan perlakuan anak muridnya akan lebih rasional berbanding dengan pendidik yang tidak sensitif tentang perkembangan muridnya. Selalu terjadi murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaan di label sebagai murid yang pemalas, tidak dengar kata, degil dan sebagainya. Sedangkan sebenarnya mereka memerlukan teknik pembelajaran yang berbeza dengan pelajar yang lain.

Perincian secara khusus di bawah adalah penerangan tentang lima masalah pembelajaran yang agak sukar dikenalpasti kerana ia selalu di anggap sebagai perkara normal. Penulis tidak menerangkan tentang masalah pembelajaran yang mudah dikesan seperti ceberal palsy, syndrome down, speech delay yang boleh dikesan dengan mudah.

Autisme

Autisme merupakan satu situasi di mana pembesaran seorang kanak-kanak adalah normal secara fizikalnya namun mereka menghadapi masalah dari segi komunikasi dan sosial. Ini berlaku kerana adanya gangguan saraf yang kompleks di otak mereka.

Tanda-tanda yang dapat dilihat dari kanak-kanak yang mempunyai autism ialah mereka sukar berkawan dengan kanak-kanak yang lain, suka berada dalam dunia mereka sendiri, tingkahlaku mereka terbatas tidak seperti kanak-kanak yang lain, mereka juga sukar memahami arahan yang diberikan kepada mereka.

Terdapat juga perlakuan mereka yang ketara yang boleh kita perhatikan iaitu mereka melakukan atau mengulangi perlakuan atau percakapan yang sama berulangkali.

Autisme boleh dikesan seawal usia 3 tahun. Namun, ramai kanak-kanak yang mempunyai austime tidak dapat dikesan seawal yang mungkin, hingga menyebabkan mereka terlepas pandang mengikuti sistem pembelajaran yang tidak sesuai dengan mereka.

Autisme juga mempunyai beberapa tahap yang hanya boleh dikesan oleh doktor pakar berkaitan dan ramai juga kanak-kanak yang mempunyai autism boleh mengikuti proses pembelajaran bersama-sama kanak-kanak normal. Ramai juga kanak-kanak autism mempunyai IQ yang lebih tinggi dari kanak-kanak normal.

 

Deklesia

Deklesia merupakan masalah dalam pembacaan secara umumnya. Murid yang menghadapi masalah ini selalunya di anggap murid yang lembap kerana mereka sukar membaca, menulis dan mengira. Mereka sebenarnya mempunyai IQ yang sama atau lebih tinggi dari kanak-kanak normal. Umur paling awal dyslexia boleh dikesan adalah seawal 5 tahun setengah dan kadang-kadang tecicir hingga ke tahap dua persekolahan.

Antara tanda yang dapat seorang guru lihat ialah mereka menghadapi masalah untuk menangkap, membaling dan menendang bola. Mereka sukar untuk menentukan arah dengan betul, selalu tertukar kanan dan kiri. Tulisan mereka kurang kemas dan banyak huruf yang di tulis terbalik. Mereka tidak boleh menyalin dengan betul tulisan yang ada di papan putih.

Terdapat banyak lagi tanda-tandanya yang menunjukkan jika seseorang kanak-kanak itu mengalami deklesia. Namun, jika didapati tahap perkembangan seseorang anak itu terlambat berbanding rakan seusianya terutamanya dari segi membaca kemudian diikuti menulis, para ibubapa atau guru boleh merujuk kepada pakar perubatan yang berkenaan.

 

Attention Defisit Disorder (ADD)

Menurut Seifert (1999), Attention Deficit Disorder(ADD) adalah masalah sukar memberi tumpuan dan mengawal desakan diri. Kanak-kanak yang mempunyai ADD sukar untuk memberi perhatian dalam jangka masa yang lama. Mereka sukar untuk memahami arahan yang diberikan kepada mereka.

Namun jika mereka melakukan sesuatu yang mereka minati mereka dapat memberikan sepenuh perhatian mereka.

Mereka selalunya tidak berfikir sebelum melakukan sesuatu. Antara ciri-ciri lain yang boleh kita lihat adalah kanak-kanak tersebut mereka tidak mematuhi arahan guru, mempunyai masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti, berasa ingin cepat menyelesaikan sesuatu tugasan, dan tumpuan mereka hanya sekejap-sekejap sahaja.

Selain itu, kanak-kanak yang tidak dapat memberi tumpuan juga suka mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas dan paling ketara mereka selalu kehilangan barang dan mudah lupa sesuatu perkara termasuk juga lupa kerja sekolah yang diberikan kepada mereka.

Ini adalah kerana terdapat gangguan di saraf otak mereka menyebabkan mereka sukar menerima maklumat dalam bentuk yang sepatutnya.

 

Attention Defisit Hyperactive Disorder (ADHD)

Menurut Kasmini Kassim (1992),  Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) digunakan untuk menerangkan tingkah laku kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam, kurang tumpuan perhatian, terlalu lasak, impulsif, resah, suka merosakkan harta benda, dan mudah mengalihkan perhatian terhadap sesuatu perkara. Selain itu, kanak-kanak juga selalu mempunyai masalah untuk bermain dan terlibat dalam aktiviti masa lapang dengan senyap.

Selain itu, kanak-kanak selalu sibuk atau aktif bergerak dan selalu bercakap secara melampau atau berlebih-lebihan. Antaranya ialah selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan, kurang sabar atau menghadapi masalah ketika menunggu giliran dan sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain.

Selain itu, kanak-kanak juga selalu membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan. Mereka juga seperti ADD hanya boleh memberi perhatian kepada mereka yang mereka minati dan kadang-kadang berlebihan dalam melakukan hal yang mereka minati.

Hal ini berlaku kerana terdapat gangguan kepada saraf otak yang menyebabkan mereka mengalami simpton-simpton yang dinyatakan, factor genetik dan juga faktor persekitaran.

Jika interversi awal diberikan biasanya kanak-kanak akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Terdapat juga kanak-kanak diberikan rawatan ubat yang sesuai jika kadar ADD atau ADHD yang mereka alami tinggi.

 

Slow Learner/Lamban Belajar

Merupakan kanak-kanak yang sihat secara mental dan fizikal tetapi lambat menguasai sesuatu perkembangan. Mereka biasanya lambat untuk memahami sesuatu perkara, lambat jika hendak memberi pendapat, lambat untukmemberi respon terhadap soalan yang dikemukakan kepada mereka.

Mereka perlukan pengulangan yang berkali-kali untuk sesuatu perkara. Mereka dapat menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan tetapi mengambil masa yang agak lama. Mereka juga lambat untuk membuat kerja rutin mereka seperti memakai baju atau untuk memegang pensel untuk menulis sesuatu.

Dari segi sosial mereka agak pendiam dan pemalu dan selalu sukar untuk berkerja dalam kumpulan. Mereka juga selalu menyendiri, ini adalah kerana keyakinan diri mereka sangat rendah hingga mereka sukar untuk berkawan dengan baik.

Setelah mengetahui secara umum ciri-ciri anak-anak yang mempunyai masalah pembelajaran, seorang guru perlu mencadangkan agar ibubapa atau penjaga murid-murid yang terlibat membawa anak mereka berjumpa dengan doktor agar boleh di diagnosis dengan betul.

Dari sini doktor akan rujuk kepada pakar kanak-kanak yang akan memberitahu samada anak-anak tersebut boleh mengikuti arus pendidikan perdana atau memerlukan penjagaan rapi sebagai murid berkeperluan khas. Ini merupakan satu perkara yang sangat penting kerana jika mereka dibiarkan berada dalam system yang tidak sesuai dengan mereka, mereka akan menghadapi masalah sehingga mereka dewasa.

Terdapat juga murid-murid yang telah dikenalpasti menghadapi masalah pembelajaran tapi masih boleh belajar bersama-sama dengan kanak-kanak normal yang lain, Cuma mereka perlu mengikuti beberapa terapi yang biasanya dilakukan di hospital.

Terdapat ramai tokoh yang menghadapi masalah pembelajaran yang dibincangkan di atas dan mereka dikenali ramai antara tokah yang menghadapi masalah autism ialah Albert Einstein, Isaac Newton, Charles Darwin dan Thomas Jefferson. Manakala tokoh ADHD ialah Thomas Edison, Nelson Rockerfeller dan Whoopi Goldberg.

Justeru itu, apabila kita mengesan masalah yang dihadapi oleh anak murid kita akan dapat membantu mereka dalam pembelajaran serta menghadapi hidup dengan sewajarnya.

Artikel ini disumbangkan oleh Cikgu Nor Aini. Seorang guru di sebuah sekolah swasta dan merupakan cikgu tuisyen di Kelantan. Boleh ikuti beliau di facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here