Untuk hari guru tahun lalu, saya pernah menulis mengenai filem dari Thailand berjudul Teachers Diary yang saya anggap menarik kerana ia membawa bidang perguruan ke kawasan pedalaman – di atas bot di pinggir air.

Tahun ini pula kita baru disajikan dengan filem hebat berkisar kisah benar seorang guru yang cukup menginspirasikan bernama Cheryl Anne Fernando di dalam filem Adiwiraku.

Menerusi dua contoh watak filem di atas, ia masih terikat dengan guru atas nama profesion. Tetapi melalui skop yang lebih luas, sesiapa yang mempunyai ilmu dan mampu menyampaikan ilmu, beliau juga adalah guru.

Jadi kali ini, saya senaraikan beberapa watak guru pilihan dari filem yang bagi saya punyai sisi yang menarik untuk ditonton.

Jangan kecewa jika saya tidak menyenaraikan Francois Begaudeau dari filem The Class (2008), Professor Gerald Lambeau dari filem Good Will Hunting (1999), Erin Gruwell dari filem Freedom Writers (2007) atau Mark Thackeray dari filem To Sir, With Love (1967).

Ini kerana ini bukan senarai terbaik, tetapi senarai yang mungkin membuat anda ingat akan sesuatu pada guru-guru anda.

1. John Keating lakonan Robin Williams dari filem Dead Poets Society (1989)

Tidak sah rasanya jika senarai ini tanpa Profesor Keating. Robin Williams sememangnya pelakon yang terbukti jarang sekali menghampakan. Dan melalui watak ini, beliau membuktikannya lagi.

Watak seorang profesor yang cuba menyelami setiap jiwa murid-muridnya dengan permainan sastera dan puisi ini sememangnya satu watak yang patut ditonton oleh bakal guru, sedang menjadi guru dan bekas guru.

Mungkin ada pelajaran yang boleh diperolehi yang tidak ada di dalam buku rujukan. Kerana John Keating cuba menjadi lebih dari sekadar menjadi seorang guru pada murid-muridnya.

2. Kensuke Miyagi lakonan Pat Morita dari filem Karate Kids (1984)

Filem ini boleh dikatakan fenomena sekitar era 80an di mana boleh dikatakan filem ini sering diulang siar di kaca televisyen.

Walaupun ia amat dikenang melalui babak ‘The Crane Stance’ oleh Daniel LaRusso lakonan Ralph Macchio, tetapi karisma watak Mr. Miyagi memberi lebih banyak warna dan kenangan.

Watak seorang guru seni mempertahankan diri yang tenang dan bertindak hanya apabila perlu ini sememangnya membuat ramai anak muda berkira-kira mahu belajar seni mempertahankan diri.

3. Ram Shankar Nikumbh lakonan Aamir Khan dari filem Taare Zamen Par (2007)

Aamir Khan merupakan antara ‘Khan’ yang gemar lari dari ciri tipikaliti. Dengan watak genius di dalam 3 Idiots atau makhluk asing di dalam PK, versatiliti Aamir Khan sememangnya dikagumi. Tetapi melalui watak seorang guru yang cuba memahami pelajarnya yang disleksia, bagi saya ini antara lakonan hebat dari beliau.

Menarik pada watak ini, ia gemar melahirkan rasa pada penontonnya agar turut sama memahami apa yang dia lalui dan bukan sekadar mahu kita melihat dia sebagai hanya seorang guru di sekolah. Kerana watak ini membuktikan, mungkin ada perkara yang ibu bapa terlepas pandang. Sememangnya watak yang mampu menginspirasikan.

4. Yuko Moriguchi lakonan Takako Matsu dari filem Confessions (2010)

Bagi sesiapa yang pernah menonton filem ini, mungkin Cikgu Yuko bukan guru contoh terbaik. Ya, satu watak di mana seorang guru kelas menjadi mangsa ‘kenakalan’ anak muridnya dan si guru cuba mencari siapa di kalangan muridnya yang bertanggungjawab.

Tetapi apa yang menarik pada watak ini, ia sentiasa membuatkan seorang guru tetap seorang guru dan seorang ibu tetap seorang ibu. Watak ini seolah sentiasa one step ahead dari setiap muslihat murid-muridnya yang menyangkakan mereka boleh memperbodohkan seorang guru.

Mungkin boleh dikatakan ini ialah Great Teacher Onizuka tetapi bukan di dalam cara yang amat serius. Mudahnya, hormati guru anda.

5. Butet Manurung lakonan Prisia Nasution dari filem Sokola Rimba (2013)

Riri Riza, sang pengarah filem hebat Laskar Pelangi (2008) kembali dengan filem ‘pendidikan’ melalui Sokola Rimba. Prisia Nasution yang mula dikenali di Malaysia melalui filem arahan Dain Said, Interchange ini mempersembahkan watak seorang guru yang tak kenal erti putus asa.

Menariknya watak ini, guru ini perlu mengajar anak-anak yang tinggal di hutan dan dia sendiri perlu mengajar anak-anak rimba ini membaca dan menulis di dalam hutan. Selain itu, watak ini perlu berhadapan rintangan kuno betapa bekerja lebih baik dari belajar.

Oh ya! Jika soalannya mengapa perlu mengajar di hutan dan tidak ke sekolah, jawapannya ialah kerana judul filem ini Sokola Rimba.

6. LouAnne Johnson lakonan Michelle Pfeiffer dari filem Dangerous Mind (1995)

Dari seorang Catwomen di dalam Batman Return (1992) dan kemudian menjadi seorang guru di dalam Dangerous Mind, itu versatiliti Michelle Pfeiffer.

Memegang watak seorang bekas U.S Marine yang perlu berhadapan dengan murid-murid ‘samseng’ malahan pengedar dadah, watak ini menunjukkan satu sisi didikan yang ‘tegas’ tetapi bijak.

Walaupun pada awalnya watak LouAnne mengatakan “Who are those kids? Reject from hell?”, akhirnya kita akan lihat sinar pada gelapnya gelumang dunia samseng mereka.

Oh ya, soundtrack Gangsta Paradise dari Coolio masih malar segar hingga kini.

7. Dewey Finn lakonan Jack Black dari filem School of Rock (2003)

Jack Black memang dikenali melalui kepelbagaian watak. Tetapi dia cukup diingati melalui watak ini, seorang guru ganti yang tak tahu bagaimana menjadi guru dan tiba-tiba menjadi guru.

Apa yang menarik melalui watak Dewey Finn ini, watak ini bersungguh-sungguh cuba mengajar apa yang dia tahu kerana menganggap apa yang dia tahu ialah satu pelajaran.

Ya, mata pelajaran rock history kemudian memberikan kerja rumah dengan study lagu-lagu Led Zeppelin dan The Ramones, sekolah mana lagi yang akan mengajar perkara ini kecuali School of Rock bukan?

8. Pakcik Halim lakonan R. Jaafar dari filem Bujang Selamat (1985)

Mungkin di dalam senarai yang tertera, watak guru silat yang dilakonkan oleh Allahyarham R. Jaafar ini bukan sebuah watak deep yang mengesankan.

Walaupun ia seperti copycat kepada watak Kensuke Miyagi di dalam filem Karate Kids, tetapi elemen fun dan memorable melalui watak ini meninggalkan kenangan seorang guru tidak formal yang sukar untuk dilupakan walau dibayangi kemunculan filem aksi lain.

Sememangnya sukar kita nak melupakan adegan dua kali kanan, dua kali kiri, pandang depan, jaga nafas itu bukan selain dari gelek lagu R.Azmi dengan copycat gerakan The Crane Stance.

9. Kang In-ho lakonan Gong Yoo dari filem Silenced (2010)

Sebelum menjadi seorang Goblin dan zombie, Gong Yoo boleh dikatakan agak menyerlah melalui watak ini. Watak seorang guru yang terpaksa melawan guru lain (malah melawan sistem kehakiman) demi membela murid kelainan upaya sememangnya watak yang amat mencabar bakat lakonan Gong Yoo.

Walaupun lakonannya di dalam filem ini agak lambat panas, namun apa yang menarik ialah watak ini memberi satu rasa betapa menjadi guru bukan sekadar mengajar, tetapi juga melindungi anak muridnya sedaya yang mungkin. Dan watak ini agak menarik kerana ia membawa kita ke mengenali siapakah guru dan siapakah yang cuma bergelar guru.

Mungkin senarai ini cuma sebahagian dari beberapa lagi watak guru formal dan tidak formal yang saya rasa menarik.

Ya, masih ada guru sekacak Mr. Hasumi dalam Lesson of Evil (2012), Muluk di dalam Alangkah Lucunya Negeri ini (2010) atau Melvin B. Tolson dalam The Great Debaters (2007) yang saya tidak senaraikan.

Tetapi siapa pun yang kita, kita juga tetap seorang guru. Mungkin anak murid kita tidak berseragam putih, tetapi mungkin hanya memakai pampers dan mahu kita mengajarkannya bertatih dan mengajar menyebut ‘Papa’ atau ‘Mama’ sebagai perkataan pertama.

Kerana kita pernah menjadi murid pada ‘guru’ itu.

Artikel ini disumbangkan oleh Hatta Midy. Boleh ikuti beliau di facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here