Di dalam industri ini, saya ibarat seorang bayi yang sedang belajar bertatih. Saya bukanlah seorang sifu untuk mengajar dan menunjuk jalan untuk berjaya, cuma sekadar seorang guru tuisyen biasa yang mempunyai sedikit pengalaman yang masih segar di dalam minda, bagaimana perit dan jerih mencari pelanggan pertama dan bagaimana saya mampu bertahan sehingga kini selepas hampoir 6 bulan sejak bermula.

Mengajar, saya yakin, adalah satu kebolehan yang mengalir bersama darah di dalam diri. Abah adalah seorang guru yang telah menabur bakti berpuluh-puluh tahun di sekolah menengah sejak usia muda sehingga bersara. Keluarga kami disara dan dibesarkan hasil pekerjaan abah sebagai guru, jadi tidakla salah jika saya katakan bahawa mengajar adalah darah daging saya.

Ketika cuti sekolah sambil menunggu keputusan peperiksaan SPM dulu, saya berulang alik ke rumah sepupu mengajar Fizik yang satu tahun lebih muda. Ketika sedang menuntut di universiti di Melaka, saya menawarkan diri sebagai tenaga pengajar sukarela secara mingguan mengajar pelajar sekolah rendah di Bukit Beruang. Bila berpeluang, saya juga menyertai tenaga sukarelawan ke rumah anak yatim mengajar komputer. Apabila memasuki alam pekerjaan bertugas sebagai Eksekutif di TM Johor Bahru, saya menjadi guru tuisyen separuh masa bagi mengisi masa terluang di hujung minggu walaupun hanya dengan bayaran yang rendah. Dua tahun kemudian, saya kembali ke universiti tempat saya belajar, sebagai tenaga pengajar. Semua ini saya lakukan demi  minat yang mendalam untuk mengajar.

Kini, saya kembali ke medan mengajar sebagai guru tuisyen. Sebagai pengikut senyap Syed Azmi yang terkenal dengan motttonya ‘tamak pahala’, beliau banyak melalukan kerja-kerja amal dan memberi inspirasi kepada ribuan pengikutnya. Saya adalah salah seorang yang mendapat inspirasi tersebut. Ketika berfikir-fikir apakah sumbangan yang saya boleh lakukan kepada masyarakat, yang saya boleh lakukan secara konsisten dan penuh gembira tanpa rasa terbeban, terus saya mendapat jawapannya. MENGAJAR. Mendengar tentang kewujudan Program Tuisyen Rakyat anjuran Kerajaan Selangor untuk subjek teras seperti Bahasa Melayu, English, Matematik dan Sejarah; saya terus terpanggil untuk menawarkan perkhidmatan yang serupa di dalam subjek yang saya gemari, Matematik Tambahan SPM. Dengan izin Allah dan bantuan sahabat-sahabat, saya berjaya menghubungi koordinator program tersebut di DUN Bangi, dan beliau bersetuju untuk membawa cadangan saya kepada YB Adun Bangi sendiri. Dipendekkan cerita, Program Tuisyen Rakyat di DUN Bangi kini menjadi platfom saya untuk menyumbang kepada msyarakat. Kemudahan kelas di Sekolah Agama KAFAI Al-Istiqoman adalah begitu selesa dan sesuai dengan objektif program, tuisyen percuma untuk rakyat berpendapatan rendah.

Daripada situ, saya juga mula menjadi ahli beberapa agensi mencari tutor/pelajar di internet. Salah satu daripanya adalah TuitionPlaza.com. Website ini adalah cara pemasaran pertama saya, dan ianya sangat berkesan. Ibu bakal pelajar pertama yang bersetuju menggunakan perkhidmatan saya menemui saya melalui Tuition Plaza.

Menyedari bahasa pemasaran internet adalah cara terbaik untuk mencari pelanggan, saya memusatkan usaha saya di situ. Saya mula membuat website (AizuddinYusoff.com) dan Fan Page FB (www.facebook.com/aizuddinyusoffacademy) sendiri, agar lebih ramai mengenali saya dan perkhidmatan yang saya tawarkan.Setelah hampir 6 bulan sejak saya bermula sebagai guru tuisyen, Alhamdulillah, permintaan semakin bertambah. Salah satu faktor utama permintaan ini adalah kerana ada pelajar saya yang telah berjaya memperbaiki keputusan peperiksaan daripada F kepada A dalam masa yang singkat. Saya akui pelajar terbsebut adalah pelajar yang pintar, cuma kurang mendapat bimbingan yang betul untuk berjaya. Jadi inilah keperluan yang saya cuba penuhi melalui perkhidmatan yang saya tawarkan. Saya berasa sangat gembira, dan bersyukur kerana dapat berkonssi kelebihan yang saya ada (mengajar) dengan adik-adik pelajar yang memerlukan.

Apakah perancangan saya di masa hadapan? Sudah tentu, untuk memberi perkhidmatan kepada seramai pelajar yang boleh. Secara bersendirian, saya tidak mampu. Jadi jika diberi keizinanNya, saya bercita-cita untuk membentuk satu pasukan guru/tutor tuisyen persendirian di bawah syarikat dan jenama Aizuddin Yusoff Academy.

Rakan-rakan kongsi ini akan dilatih untuk sama-sama mengekalkan aspirasi menjadi guru terbaik, bersemangat, cergas dan mesra ketika menunaikan tanggungjawab sebagai guru tuisyen. Guru yang penuh motivasi dan yakin diri ini, akan mengalirkan sikap positif kepada pelajar-pelajar mereka. Belajar matematik tidak perlu lagi membosankan dan sukar.

Saya juga akan cuba meneroka peluang pasaran baru di sekolah-sekolah melalui perkhidmatan tuisyen berkumpulan kecil selepas waktu persekolah di sekolah. Daripada temubual dengan ibubapa, mereka berpendapat anak-anak mereka tidak dapat belajar dengan berkesan di dalam kelas yang besar dengan tumpuan yang sedikit oleh guru-guru di sekolah. Anak-anak mereka memerlukan bimbingan tambahan di dalam kumpulan kecil. Program selepas waktu persekolahan sebegini mungkin membuka jalan untuk saya dan rakan-rakan guru tuisyen memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pelajar yang memerlukan.

Satu lagi pasaran yang masih tidak diterokai di Malaysia adalah tuisyen online (internet). Di negara maju seperti UK dan US, perkhidmatan tuisyen online ini adalah biasa. Banyak kelebihan (dan juga kekurangan) tuisyen online ini, di antaranya kemampuan untuk dicapai oleh pelajar yang berada jauh dari sudut geografi. Masa dan wang juga lebih jimat, selain keanjalan susunan waktu jadual kelas.

Perkongsian pengalaman dan inspirasi cita-cita di sini adalah untuk memberi sokongan kepada mana-mana guru tuisyen yang baru bermula. Diperingkat awal dulu, saya menjadikan buku ‘Buat Duit Dengan Tuisyen’ karangan Osman Affan, ‘Rahsia Usahawan Tuisyen’ karangan Natra Abd Hamid dan Yusnizam Yusoff, dan ‘Start Your Own Tutoring & Test Prep Business’ sebagai panduan. Buku-buku ini adalah satu sumber pengetahuan dan motivasi dengan sungguh berguna kepada saya.

Secara kesimpulan juga, pemasaran melalui internet (blog/Facebook) adalah medium yang sangat berkesan dan murah. Cubalah, anda pasti kagum dengan hasilnya.

Terima kasih.

Aizuddin Yusoff

Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Yusoff. Boleh ikuti beliau DI SINI

Artikel ini disumbangkan oleh Aizuddin Yusof. Seorang Tutor Tuisyen. Boleh ikuti blog beliau di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here