Sebagai seorang pelajar siswazah sambung belajar sendiri (self-funding), ramai juga bertanya bagaimana aku dapat hidup setahun selama ini?

Pertama, tentulah mendapat galakan dan dana daripada ibu bapa. Itu cukup setakat ini aku bercerita.

Perjalanan mencari kerja

Kedua, aku bekerja. Ya bekerja. Tidak seperti pelajar master lain yang hidup mewah dengan GRF dan GRA, aku terpaksa mencari kerja lain bagi menampung kos hidup sepanjang setahun aku belajar ini.

Aku pada awalnya bercadang nak bekerja sambilan di Alamanda. Sudah beberapa nombor aku ambil untuk dihubungi. Tetapi entah mengapa tangan ini tak tergerak untuk call tanya.

Nak berniaga pula, aku tak pandai memasak. Apatah lagi aku tiada langsung modal untuk mula berniaga.

Kemudian, dalam usrah aku, ada seorang pelajar master juga bekerja sebagai guru tuisyen. Katanya jadi cikgu tuisyen ini mudah dan fleksibel. Lalu aku minta tip-tip yang boleh dia kongsikan.

“Alah senang je. Kamu pergi ke mana-mana pusat tuition dan kata kamu hendak menjadi tutor di situ,” cadang Firdaus. “Insya-Allah akan ada yang offer nanti. Mereka memang memerlukan tutor sambilan atau part time terutama apabila ada cikgu yang tak dapat hadir.”

Aku ambil masa 2 minggu untuk menerima logik cadangan dan nasihatnya itu. Akhirnya aku tergerak dek kerana faktor kewangan yang memerlukan aku bertindak cepat.

Aku mencari di lokasi-lokasi sekitar Putrajaya.

Alhamdulillah. Jumpa dua. Pertama di Pusat Tuisyen Ekselains. Kedua Pusat Tuisyen Entah Berjaya. Nama pusat tuisyen ditukar demi menjaga nama baik aku. Hahaha.

Petua Firdaus menjadi. Aku dapat tawaran mengajar sambilan di PTEB. Aku sempat ajar dua kali sahaja. Itupun kerana cikgu yang mengajar ketika itu ada hal. Selepas itu langsung tiada panggilan. Tiada rezeki aku di situ. Bayaran bagus tetapi nak buat macam mana…

Sambil mencari, aku juga ada terserempak dengan ejen Skor A. Ceit. Geram. Panas hati. Kecewa. Macam-macam perasaan ada. Tetapi bagi aku itu pengalaman. Alhamdulillah. Untuk pengetahuan, aku memegang mazhab MLM adalah haram! Nak tahu skor A haram atau tak, rujuk sini. Ini sama sahaja dengan pencil.my, bagi yang masih tak tahu.

4 bulan kemudian PTE call aku pula. Katanya aku terpilih. Aku pun pergi temuduga dan dapat tawaran mengajar. Ternyata PTE ada high standard pengajaran (kononnya). Jadi aku hanya sempat mengajar sekali sahaja sebelum ditendang oleh pelajar di sana. Sedih, tetapi ada hikmahnya.

Rakan blog, Kak Dell membaca kisah aku lalu menawarkan aku untuk membantunya mengajar di sebuah keluarga di Putrajaya. Alhamdulillah. Allah jualah memberi rezeki kepada aku. Terima kasih Kak Dell.

Selepas itu, kawan aku Azrin menawarkan kerja kosong untuk diisi di pusat tuisyen tempat dia bekerja, Pusat Tuisyen AlHafiz Motherhome. Aku terus terima. Biarlah apa pun asalkan dapat kerja.

Juga Alhamdulillah sehingga kini aku dapat meneruskan kehidupan pekerjaan sebagai cikgu tuisyen. Walaupun masih kurang dapat menampung kos hidup aku di sini, tetap aku bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada aku.

Tambah ilmu

Untuk menambah ilmu aku dalam pengajaran, aku juga membeli buku ‘Buat Duit Dengan Tuisyen‘ karya Osman Affan. Memang bagus buku tersebut. Banyak membantu aku memahami lebih mendalam apa yang patut ada dalam diri seorang pengajar secara tuisyen.

Aku rekomenkan kepada sesiapa yang nak berjaya dalam mengajar dan membuka pusat tuisyen nanti. Sayangnya beliau terlalu sibuk sampai tidak ada masa untuk buat bengkel tuisyen. Jika tak, memang aku akan sertai.

Mengajar di Pusat Tuisyen atau di rumah secara persendirian?

Nasihat dan petua

Apabila aku bercerita tentang aku bekerja sebagai tutor tusyen di rumah orang, ramai juga kawan aku tertarik untuk mengetahui panduan berkaitan. Dengar lumayan. Namun…

Apa dapat aku nyatakan, jika tiada pengalaman, bekerjalah dahulu di pusat tuisyen berdekatan. Dapatkan pengalaman mengajar dan lihat bagaimana pusat tuisyen mengendalikan pelajar-pelajar mereka. Insya-Allah sedikit demi sedikit akan belajar caranya menjadi tutor rumah berjaya. Apabila sudah yakin, boleh buka bisnes sendiri.

Memang home tuition ini nampak menguntungkan, tetapi perkara asas perlu diketahui. Banyak tutor home tuition berdasarkan saranan dari kawan ke kawan. Iaitu dari mulut ke mulut. Jadi untuk pemula memang agak lambat nak dapat tawaran.

Kalau ada dana lebih, buat bunting atau banner. Gantung di sekitar jalan-jalan di kawasan yang ditarget. Ada masa atau duit lebih, buat weblog. Jika tak, buat Facebook page pun sudah memadai. Inilah masa untuk promosi kepakaran anda sebagai seorang yang boleh mengajar. Yehhha!

Ok. Setakat itu sahajalah dapat aku kongsi. Apa kata anda yang membaca? Sepanjang menjadi pelajar siswazah ni, tiada ke keinginan nak dapat duit lebih cara halal? Kongsilah sama saya… =)

Artikel ini disumbangkan oleh Izham Alias. Boleh ikuti blog beliau di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here