Setiap orang mempunyai cita-cita yang ingin dicapai dan Alhamdulillah aku telah diberi peluang untuk merasai semua itu. Namun sepanjang aku mempunyai kerjaya yang diidam-idamkan, aku merasakan duniaku kosong dan sunyi, hanya dipenuhi dengan tugas-tugas harianku sebagai Engineer di tapak projek.

Aku mendongak ke langit memikirkan nasibku apabila aku sudah berkahwin nanti. Adakah aku akan menjalani hari-hariku sama seperti sebelum ini? Akhirnya aku nekad untuk berhenti dan meninggalkan kerjayaku. Aku mengambil keputusan untuk menyambung pengajianku di peringkat sarjana.

Alhamdulillah aku juga telah mengambil keputusan untuk berkahwin dalam tempoh pengajianku. Aku sekarang mempunyai tiga orang cahaya mata yang pastinya rasa syukur dipanjatkan kepada Allah kerana aku dapat membesarkan mereka sendiri.

Hari demi hari kehidupanku terasa ingin diisi dengan perkara yang bermanfaat dan aku mengambil keputusan untuk mengajar subjek kegemaranku Matematik namun pada mulanya, tiada sebarang minat dalam mengajar anak-anak bangsa dan tidak ada sekelumit pun niat untuk menceburi bidang tutoring ini.

Namun segalanya berubah 360 darjah apabila anak-anak sudah semakin membesar dan aku ingin mengisi masa yang terluang dan terdetik dalam hati mengapa tidak berkongsi ilmu yang ada untuk membantu anak-anak di luar sana dan bermula dengan hanya bertanya sekadar ingin mencuba dengan jiran sebelah rumah dan respon positif yang diberikan dan mereka bersetuju untuk aku mengajar anak-anak mereka.

Alhamdulillah satu tanggungjawab yang besar harus dipikul untuk membantu anak-anak ini dan pada ketika itu mereka akan menduduki peperiksaan PT3.

Beberapa bulan yang masih berbaki digunakan sebaik yang mungkin untuk berkongsi ilmu dengan mereka. Pada mulanya agak takut dan tidak yakin adakah niat ini betul dan tepat dalam perjuangan ingin menyumbang sesuatu kepada masyarakat namun diriku nekad untuk teruskan. Pelbagai cabaran juga pada awalnya kerana sang penulis tidak ada pengalaman dalam mengajar dan silibus pula tidak sama sepertimana aku bergelar pelajar. Bermulalah suatu pengembaraan yang baharu dalam hidupku.

Tidak pernah-pernah mengajar, diredahnya juga dan perkara yang paling tidak dapat dilupakan adalah aku menjadi pelajar semula dan mengulangkaji silibus-silibus terkini agar ilmu dan maklumat seiring dengan sesi pengajaran nanti.  Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan anak-anak yang diajar ini bertambah seronok dengan kelas yang dihadiri.

Walaupun pada awalnya, aku hanya mempunyai dua orang pelajar namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus berkongsi malahan sang penulis ingin mengembangkan lagi sayapku dalam bidang tutoring dan Alhamdulillah diterima sebagai tutor di bawah naungan Akademi Infitah dan pengalaman mengajar orang yang tidak kita dikenali amat mencabar sekali dan kebetulan aku perlu mengajar sepasang adik-beradik yang sememangnya aktif dan tidak minat untuk belajar.

Kelas pertama bermula dengan respon yang kurang baik dan mereka tidak mengendahkan kehadiranku. Belajar hanya kerana terpaksa dan fikiran melayang-layang entah ke mana. Aku merasakan seperti ingin berputus asa dengan keadaan suasana pengajaran dan pembelajaran yang tidak menyeronokkan dan penerimaan yang kurang memberansangkan daripada kedua-dua adik beradik itu.

Segala permasalahan diutarakan kepada si suami yang setia mendengar dan pendorong semangat dan akhirnya aku mendapat satu semangat yang baharu untuk meneruskan perjuangan dalam berkongsi ilmu. Alhamdulillah hari demi hari, pasangan adik beradik ini mula suka denganku kerana aku mula memancing minat mereka dan melayani mereka seperti kawan-kawan dan masuk ke dalam dunia adik beradik ini.

Aku  dapat mempelajari banyak perkara terutama apabila berdepan dengan cabaran-cabaran seperti ini. Keputusan anak-anak ini juga bertambah baik dan aku amat berbangga dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak ini. Namun perjalanan aku tidak terhenti di sini dan ingin mengembangkan lagi sayap tutoring ini bersama-sama syarikat Home Tuition yang banyak membantu para tutor dalam menggapai impian mereka CMN Academy. Begitu banyak ilmu yang dicurahkan dan dikongsi bersama dan dikelilingi oleh rakan-rakan perjuangan yang hebat.

Begitulah serba sedikit pengalaman yang dapat dikongsikan bersama agar menjadi pedoman buat rakan seperjuangan yang lain. Niatku hanya suka-suka ingin mengisi masa terluang menjadi satu minat yang mendalam dan sebati dalam diri sehingga ke hari ini dan harapan pada masa hadapan akan terus memperjuangkan minat ini dalam membantu lebih ramai lagi pelajar di luar sana terutama pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya.

Aku harapkan segala penat dan keringat dalam berkongsi ilmu ini akan disemadikan dalam setiap hati pelajar-pelajarku dan ilmu yang dicurahkan sentiasa diingati walaupun aku telah tiada nanti. InshaAllah.

-Cikgu Maslinda-

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here