Siapakah saya diatas? Jom kita rungkai bingkisan cerita ini.

Bagaimana hendak saya mulakan cerita saya menggapai impian berkhidmat untuk manusia sejagat dengan tenaga dan kudrat yang ada pada diri yang kerdil ini? Apa yang saya sampaikan nanti diharapkan akan sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada insan-insan hebat yang boleh lebih menyumbang kepada dunia berbanding saya.

Saya, Dr. Husniza Hussain, merupakan seorang saintis dan telah berkhidmat untuk 22 tahun di sebuah institusi penyelidikan. Alhamdulillah, walaupun saya telah berpencen pada bulan lepas, saya masih terikat menjalankan dua buah projek penyelidikan dan masih berhubungan dengan tempat kerja.

Pada mulanya, saya menjalankan kelas hujung minggu untuk inovasi sains di pusat tuisyen rakan. Oleh kerana sambutan tidak berapa menggalakkan, saya terpaksa menghentikan kelas tersebut. Lagipun, tumpuan perlu diberikan kepada pengajian saya di peringkat Doktor Falsafah ketika itu.

Selepas lima tahun, saya mula terfikir untuk menceburkan diri semula di dalam bidang pendidikan apabila terpanggil untuk berkongsi ilmu dan pengalaman demi memupuk budaya inovasi di kalangan kanak-kanak semenjak di peringkat tadika.

Bermula dengan penerbitan buku-buku ‘Kids Science Innovations’, ianya kemudiannya diikuti dengan penghasilan modul ‘Hafalan Sifir Mudah’ di mana ilhamnya saya dapat ketika di dalam kereta sewaktu jalan sesak sewaktu pulang dari kerja.

Titik tolaknya saya menjadi tutor adalah pada April 2020 apabila CMN Academy menjemput saya menyertai team ‘Funtastic Online Tuition’ sebagai tenaga pengajar bagi bengkel sifir. Sebelum itu, saya sudah memberi ceramah di bengkel-bengkel sifir offline anjuran sebuah syarikat yang mengedar bahan-bahan pendidikan awal kanak-kanak dan lebih kurang 500 peserta sudah memanfaatkan bengkel tersebut.

Beberapa proposal untuk menjalankan bengkel di beberapa perpustakaan telah dihantar dan hasilnya, saya telah dijemput menjalankan kelas sifir pada hujung minggu di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.

Saya juga telah dijemput untuk menjalankan bengkel sifir offline di Perpustakaan Negara pada tahun lepas dan sekali lagi saya dijemput untuk menyampaikan Bengkel Genius Sifir secara dalam talian pada tahun ini. Berikutan itu, satu jemputan daripada pihak Radio BERNAMA juga telah diterima untuk slot ‘Book Biz’ berkenaan buku-buku yang telah saya terbitkan.

Daripada kandungan buku inovasi sains, saya telah menyertai platform ‘e-learning’ di platform Digylearn pihak CMN Academy di mana video-video eksperimen sains boleh dilanggan di situ. Bagi modul sifir, ianya juga boleh dipelajari melalui ‘e-learning’ di platform Ruang Cikgu.

Buku ini juga telah diterbitkan di pasaran antarabangsa dan boleh ditemui di Amazon dan di beberapa kedai buku luar negara seperti di Barnes & Noble. Sebagai sumbangan saya kepada rakyat Malaysia, saya jualkan buku sifir ini pada harga lapan kali ganda lebih murah di pasaran tempatan berbanding dari harga jualan di pasaran antarabangsa.

Harapan saya agar modul-modul saya dapat membantu bukan sahaja kanak-kanak di Malaysia, tetapi juga di negara-negara membangun agar asas sains dan matematik mereka kukuh demi masa depan mereka dalam menghadapi era teknologi yang lebih mencabar.

-Dr. Husniza-

Hebatkan cerita Dr. Husniza ni? Siap ada penerbitan buku sifir untuk antarabangsa lagi tu. Rahsia kejayaan terbongkar jugak sikit tu. Langgan platform e-learning dari Digylearn CMN Academy.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga sertai Bengkel ‘Legend Blueprint Mentorship‘ untuk kembangkan bisnes pendidikan beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here