Ini kisahku sebagai warga pendidik..

Impian menjadi guru terbentuk sejak di bangku sekolah. Apabila menghadapi sesuatu pembelajaran yang best, terus lakar impi nak jadi yang macam cikgu ni nanti, begitu juga sebaliknya. Biarpun pelbagai cita-cita lain menyinggah rasa, namun impian sebagai guru tu paling kerap bertanda utama.

Lebih-lebih lagi melihat ayah yang berkerjaya sebagai pensyarah universiti dan ibu yg mengajar kami adik-beradik mengajar mengaji di rumah. Apabila tak faham pembelajaran di sekolah, aku rasa frustrated dan berangan “kalau aku jadi guru, aku tak mau ajar macam ni, tak best, tak faham, aku nak guru yg macam sekian2..”. Berangan, bina impian.

Usia kanak-kanak menganjak remaja dan seterusnya dewasa mengisi status usia.

Kerjaya pertama:

Sebagai guru Allah lorongkan di sebuah pusat pembelajaran yang ada kelas tadika & sekolah rendah termasuk kelas pelajar istimewa di waktu usiaku 23 tahun, setamatnya pengajian Diploma Darul Quran JAKIM, asbab seorang senior DQ cari guru ganti kerana dia akan berkahwin dan berpindah mengikut suami. Hanya beberapa bulan, kemudian berlepas ke Mesir untuk menyambung pengajian di sana.

Karier ke-2:

Di Mesir, sebagai pelajar jurusan Qiraat , Maahad Fatayat Mansourah, kami ditugaskan mengajar di sekolah Arab di kawasan  pedalaman. Pengalaman yang amat tak dapat dilupakan. Ada buku rekod ala-ala RPH, sebagai syarat tahun ke-2 ketika itu. Setamatnya pengajian ijazah sarjana muda, minggu pertama lagi diminta ganti kekosongan guru tahfiz di sebuah sekolah tahfiz swasta di Kajang.

Dalam masa yang sama, didatangi kumpulan makcik-makcik penduduk Kg.Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang yang minta untuk bimbing bacaan Al-Quran. Redah mengajar sambil belajar cara, teknik & pendekatan kepada warga dewasa. Sejak itu, kuasa mulut makcik-makcik ni la, menjadikan jadual harianku padat dengan kelas-kelas mengajar Al-Quran dewasa meski sebagai part time, tapi yang part time ni lebih banyak masa diluangkan berbanding mengajar di sekolah..part time lah sangat 😁..sehinggalah tahun 2010, niat sambung pengajian M.a dapat ditunaikan, maka aku hentikan kelas-kelas mengajar buat sementara.

Karier Kali ke-3:

-Pengajian yang menuntut kepada fokus & kesibukan tugasan menjadikan aku suka membuat me-time di masjid Al-Hasanah Seksyen 9, B.B.Bangi. sambil membuat tugasan dan diselangi mengulang Al-Quran, ada makcik-makcik jemaah masjid rupanya memasang telinga dan memerhati.

Mereka minta tolong disemak bacaan mereka. Bermula dengan seorang, lama-kelamaan bertambah geng. Bila makin ramai, kumpulan ini didaftarkan kelas di bawah masjid sebagai kelas hafazan dewasa, yang kemudiannya bertambah peranan sebagai guru pembimbing Kelas Al-Quran di bawah Kelas Tafaqquh Fiddin Masjid Al-Hasanah Batch pertama penubuhannya.

Masih lagi kuasa mulut jemaah menjadikan masaku semakin banyak dengan kelas mengajar dewasa di masjid, surau, kumpulan, dan ke rumah orang. Sehinggalah berpindah ke utara.

Karier ke-4

Mendapat peluang mengajar tusyen matematik pada hujung minggu bertempat di sekolah berhampiran rumah.

Walaupun mengajar matematik, tapi aku selalu selitkan pesanan rohani kepada pelajar usia sekolah rendah, selit bacaan solat, doa dan lain-lain. Hal itu menjadikan aku ditawarkan oleh ibubapa untuk mengajar kelas Al-Quran 1 to 1 dengan pelajar pada waktu petang & malam. Makin lama, bertambah pelajar mengaji ke rumah, ke surau, ke rumah orang dan pusat pengajian Al-Quran Qiraati sehinggalah aku berpindah ke kampung halaman di Langkawi.

Karier ke-5:

Menemani Tokwan hidup di kampung, menjadikan pekerjaan yang dimohon haruslah yang dekat dengan rumah.

Apa pekerjaan yang aku jumpa?

Pada mulanya sebagai PENCUCI PINGGAN di sebuah restoran.

Lepas 2 minggu, dapat panggilan dari PPD Langkawi menawarkan jadi guru ganti di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang. Sebagai guru pendidikan Islam & juga Bahasa Inggeris. Waktu petang, sekali seminggu aku diminta membimbing Sesi Khas Al-Quran buat guru-guru wanita yang sukarela ingin mendalami pembelajaran Al-Quran. Hujung minggu pula, aku menjadi guru bimbingan fardhu ain serta Al-Quran kepada pelajar asrama. Walaupun hampir setengah tahun sahaja, namun dapat pengalaman yang bernilai.

Karier Ke-6:

Ditawarkan sebagai guru KAFA di Masjid Bayas, terus ku terima. Ditugaskan mengajar kanak-kanak darjah 2. Kelas KAFA di Langkawi agak unik, iaitu mengajar di sekolah/kelas agama hanya 3 hari seminggu. Maka masa terluang menjadikan rutin mengajar part time kelas Al-Quran kanak-kanak dan dewasa dapat dijalankan di rumah Tokwan. Ada yang 1 to 1, ada yang mualaf, ada yang berkumpulan, ada yang berpasangan, ada yang adik-beradik..

Sehinggalah aku menerima tawaran sebagai guru tahfiz di MITS Bagan Lalang, Sepang. Maka kembali berpindah semula ke Selangor.

Karier ke-7

Alhamdulillah, hampir 3 tahun sebagai warga pendidik di MITS Bagan Lalang, Sepang. Di sinilah mengutip pengalaman berharga, dan juga menyambung pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah pada hujung minggu. 5 hari kerja, 2 hari belajar, lama tak hadiri majlis kenduri kendara atau apa-apa majlis sebab masa yang padat dengan kelas & tugasan. 2 tahun setengah Allah pinjamkanku menjadi warga pendidik berbumbungkan sekolah, sambil jalani kelas Al-Quran dewasa dan kanak-kanak di sekitar Salak Tinggi, Serdang, Kajang & Bangi.

Jun 2019 Allah lorongkan pertemuan dengan CMN Academy. Kelas tusyen ke rumah klien merancakkan lagi warna-warni rutin harianku. Bukan sahaja menjadi tutor part time, malah diberi bimbingan tanpa henti bermula dengan pembabitanku dengan BET2020 kemudiannya LBM2020 Februari secara bersemuka di ofis CMN dan juga LBM2020 Mac secara online asbab PKP.

Bimbingan tanpa henti siang & malam menjadikanku tak pernah rasa lost, kerana positive circle yang ada amat menjadi penguat semangat, Alhamdulillah Allah pertemukan rezeki yang sebegini rupa buatku.

Karier ke-8:

Kerjaya terkini yang berbumbungkan masjid adalah suatu kerjaya yang amat baru buat diriku, banyak segi perkara yang perlu dipelajari. Meski bukan lagi berbumbungkan sekolah, namun jiwa pendidik tidak ternoktah. Kelas online tetap diteruskan pada waktu malam dan hujung minggu.

Soalan yang paling kerap diterjah: ” Tak penat ke?”

dan pelbagai lagi soalan yang seangkatan dengannya.

Kesimpulan jawapan-jawapan yang ku berikan adalah jiwa pendidik tiada noktahnya. Bila Allah yang beri, manfaatkan passion itu sebagai kerja agama & saham akhirat. Pemberat mizan kebaikan kita tidak tahu yang mana membantu, maka berkongsi ilmu adalah peluang yang banyak membentuk diri menjadi pelajar daripada pengalaman dan menjadi guru kepada anak bangsa yang cintakan ilmu. Bosan itu jarang muncul, kerana minat mengajar bertakhta di jiwa.

Subhanallah,
Allah rezekikan rasa seronok dalam momen-momen bersama client.

Allah bahagiakan saya dengan kesibukan masa saya jihad celik Al-Quran.

Allah cukupkan rehat & tenaga saya walaupun di mata orang saya penat.

Allah pertemukan orang-orang positif di sekeliling saya.

Saya ada Allah yang Maha Tahu niat & impian saya.

Saya tahu apa yang saya mahu.

Tapi Allah bagi apa yang saya perlu.

Terima kasih Allah

Alhamdulillah

Jiwa ini dari Allah,

Manfaatkan untuk Allah,

Buatlah kerana Allah.

Lelah untuk Lillah,

Moga jadi asbab ke Jannah!

Allahumma Ameen

Di sebalik langkah kaki, ada doa yang ditadah dari tangan mulia bernama ibubapa, dari ahli keluarga, dari guru-guruku , dari anak murid, dari sahabat haruman Jannah, dari kenalan media sosial yang positif.

Terima kasih atas doa-doa tulus buatku.

Moga doa kalian jadi asbabku ke Jannah jua, Dan berjiran di Jannah bersama.

Jihad cinta ilmu bukan semata-mata untuk aku seorang

tapi kerana amanah dari Rasulullah SAW HabiburRahman.

Selagi dikandung hayat

Selagi belum bergelar mayat

Selagi aku digelar ustazah

Selagi aku belum berstatus jenazah.

InsyaAllah

Allahumma Ameen

~ sayangi diri, Kasihi Nabi, Cintai Illahi Hingga ke Jannah Yang Dinanti ~

Nukilan dari jiwa pendidik yang tidak ternoktah,

-Nurul Izan Binti Pazim, 10:51, 23112020, KDABB-

Ingin kembangkan potensi anda seperti Ustazah Izan? Layari Legend Blueprint Mentorship.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here