“Doa, mintalah pada Allah pekerjaan yang mulia, diredhai Allah dan yang paling dekat di hati itu..”

(Hajah yang disayangi, Azizah, 2018)

 Itulah bisikan yang masih diingati hingga saat ini sewaktu menunaikan ibadah umrah bersama ibu dan ayahnya pada 2 tahun yang lepas dan menjadi pembakar semangat juangnya untuk beri yang terbaik dalam bidang yang sebenarnya bukan setahun telah diceburinya..

Bila disingkap satu persatu kisah perjalanan seorang yang bertubuh kecil, namun punya impian yang besar tapi hanya mampu disimpan jauh ke dalam lubuk hatinya, itulah Nurul Nabihah binti Razali atau lebih gemar anak-anak didik memanggilnya dengan panggilan Chegu Nurul. Namun, jauh lebih senang bila sahabat seperjuangannya memanggil dengan panggilan ‘Cik Bee’ kerana menurutnya lebih kekeluargaan.

Apalah erti sebuah pembelajaran dan kejayaan yang dicipta sewaktu belajar bertahun-tahun dari peringkat rendah hingga ke universiti jika tidak diakhiri dengan pekerjaan yang diidam-idamkan, betul ? Sesungguhnya, kita merancang, Allah juga turut merancang, tapi perancangan Allah itu lebih indah dari apa yang kita sangkakan.

Seorang bekas graduan dalam bidang Kimia dari Universiti Putra Malaysia yang pernah suatu tika dahulu berhasrat ingin bekerja dalam bidang Kimia sejurus selepas tamat pengajian dalam bidang itu disebabkan berskeptikal bahawa, “tamatnya pengajian dalam bidang yang kita ambil ini, maka kita akan bekerja dalam bidang itu juga”. Namun, perjalanan hidupnya tidak seindah yang disangkakannya.

Hari berganti hari, masih lagi tiada jawapan panggilan temuduga dari mana-mana syarikat yang telah dipohonnya dan pada saat itu juga, jauh di sudut hati ibu dan ayahnya ingin melihat anaknya yang terakhir ingin mempunyai kerjaya yang terjamin satu hari nanti.

Disebabkan beliau seorang yang sukakan cabaran dan jenis yang tidak suka ‘duduk saja’ , terus membuat keputusan untuk membuat kerja sambilan sebagai jurujual pakaian dan alhamdulillah berpeluang menimba ilmu tentang bagaimana pengurusan di salah sebuah syarikat besar industri runcit.

Disebabkan kekangan waktu bekerja yang terpaksa mengikut syif, beliau berniat untuk berhenti kerja sambilan itu dan mencari kerja yang masa bekerjanya lebih fleksibel dan dalam masa yang sama, beliau sedang menghitung hari membuat persiapan untuk menunaikan ibadah umrah bersama ibu dan ayahnya pada hujung tahun 2018. Syukur, doanya dimakbulkan Allah bila beliau dipanggil semula menjadi salah seorang tenaga pengajar di tempat pertama menceburkan diri dalam bidang ‘tutoring’ ini.

Alhamdulillah, perjalanan hidup Chegu Nurul lebih teratur dan bahagia bila dapat bekerja walaupun secara sambilan tapi masih dapat bersama keluarga dan membuat persiapan ke tanah suci. Rasa bahagia bila dapat berkongsi ilmu dengan anak-anak tahun 4,5,6  membuatkan terbit rasa cinta yang mula menyulam dalam diri beliau untuk teruskan perkongsian ilmu secara santai itu dengan anak-anak didiknya selepas kembalinya semula ke tanah air nanti.

Rezeki Allah beri di usia masih muda berpeluang menjejakkan kaki di tanah suci Mekah dan Madinah bersama ibu bapa tercinta membuatkan Chegu Nurul tidak mensia-siakan peluang untuk berdoa memohon segala hajat yang diinginkan. Dalam sedang ralit membuka buku doa, satu suara lembut ibunya telah memperingatkan dirinya untuk berdoa, meminta padaNya dalam dipermudahkan urusan pekerjaannya setiba di Malaysia nanti.

“Doa, mintalah pada Allah pekerjaan yang mulia, diredhai Allah dan yang paling dekat di hati itu..” (Hajah yang disayangi, Azizah, 2018)

Perjalanan yang cukup indah bagi Chegu Nurul sepanjang melakukan ibadah umrah bersama ibu dan ayahnya serta jemaah umrah yang tersangat peramah walaupun mereka tahu masih belum ada panggilan temuduga dari mana-mana syarikat, tapi kata-kata positif sahaja yang keluar daripada mulut mereka saat itu.

Sekembalinya ke tanah air, perjalanan hidup beliau diteruskan semula dengan mengajar anak-anak murid itu sehinggakan terbit satu perasaan “bagaimana untuk menjadikan suasana sesi pembelajaran itu lebih menarik, santai dan mereka lebih seronok?”. Disebabkan Chegu Nurul merasakan apa yang diajarkan selama ini agak bosan dan perhatian daripada anak-anak muridnya di dalam kelas semakin menurun dengan menggunakan satu kaedah pengajaran pada ketika itu dengan hanya menggunakan buku, marker dan papan putih sahaja.

Berbekalkan ilmu pada zaman universiti dahulu di mana Chegu Nurul giat menceburkan diri dalam program STEM yang melibatkan pelajar-pelajar dari peringkat rendah hingga menengah, beliau mula melakukan aktiviti yang mudah dahulu bersama anak-anak muridnya itu dan respon mereka tersangatlah positif dan ingin beraktiviti sambil belajar lagi.

Dalam mencari-cari pelbagai aktiviti, beliau telah menjumpai modul yang bertemakan mengenai STEM untuk subjek Matematik dan Sains dan terus membuat keputusan yang pantas pada awal Februari 2019 untuk mendapatkan modul itu. Itulah sumber pertama beliau yang menjadikan sesi pengajaran dan pembelajarannya lebih menarik iaitu Modul Funtastic Matematik dan Sains Tahun 4,5,6 dari CMN Academy.

Dalam mencari ilmu tentang STEM, Allah pertemukan satu posting berkenaan program yang menghimpunkan seluruh tutor, guru sekolah, pensyarah, dan usahawan Pendidikan iaitu Simposium Tutor Profesional Malaysia 2018 dan terbit rasa rugi dalam diri beliau disebabkan terlepas program terbesar itu yang telah diadakan pada 8 Disember 2018 di mana pada ketika itu, beliau masih berada di tanah suci.

Sesungguhnya, percaturan Allah itu sangat indah selepas itu, bilamana salah seorang tim CMN Academy memberitahu tentang satu bengkel untuk para pendidik bagi meningkatkan skil pengajaran yang lebih berkesan. Pada saat itu, Chegu Nurul masih lagi berkira-kira untuk menghadirkan diri ke bengkel itu dan dengan ilmu yang sedikit waktu zaman belajarnya menguruskan program, beliau membuat keputusan mengadakan program cuti sekolah pada pertengahan Mac 2019 dan alhamdulillah sambutannya ada cuma agak tidak memberangsangkan kerana secara keseluruhannya dilakukan oleh beliau sendiri yang masih lagi belum punyai ilmu secukupnya.

 

Disebabkan rasa sakit melakukan sesuatu benda baru pada saat ilmu belum mencukupi, Chegu Nurul nekad ingin serah diri ke bengkel ‘Beyond Expectation Tutor’ edisi April 2019 dan beliau juga pernah berangan ingin menjadi salah seorang tim CMN Academy sebelum hadir ke bengkel itu kerana merasakan ada satu tarikan dan persamaan dalam perjuangan mereka yang selari dalam diri beliau iaitu mementingkan keseronokan dalam sesi pembelajaran mampu melahirkan generasi cemerlang.

Namun, angan-angannya itu hanya disimpan rapi kerana sedar bahawa diri beliau masih lagi mentah dalam dunia ini dan perlukan banyak lagi pengalaman untuk bersama-sama mereka yang sudah cukup lama dalam dunia usahawan pendidikan.

Dari titik perubahan beliau yang nekad serah diri ke bengkel itu dan tanpa sedar, salah seorang tim CMN Academy nampak potensi diri beliau boleh pergi lebih jauh dalam bidang ini dengan tunjuk ajar dari guru yang betul. Beliau ialah Coach Mohamad Isa Idris dan Coach Amir Syazwan Manaf yang banyak beri galakan dan dorongan kepada beliau untuk membuat langkah pertama bertemu dengan Coach Mohd Noor untuk dibimbing dengan lebih serius.

Jawapan dari solat istikharah beliau, Allah permudahkan dari segi sudut kepercayaan dari ibunya dan juga kewangan untuk dibimbing dengan lebih serius bersama tim CMN Academy.

Peluang yang hadir saat diri tidak bersedia bilamana Coach Mohd Noor memberi peluang menjadi salah seorang fasilitator program bersama guru-guru Sains sekolah Menengah di PPD Kuala Selangor pada awal Mei 2019. Terlalu banyak yang telah dipelajari pada ketika itu, sehinggakan Chegu Nurul merasakan perjalanan menjadi seorang tutor itu bukanlah semata-mata mengajar anak-anak murid pagi hingga ke malam.

Kemudian, peluang Allah berikan satu persatu di mana pada awal bulan Julai 2019, beliau telah dilamar dan dijemput untuk berkongsi ilmu bersama pelajar tahun 6 dalam slot Matematik bengkel pecutan akhir. Sungguh Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya dan sedang menjawab satu persatu doa-doa yang dipinta sewaktu berada di tanah suci dahulu.

Pada awal Oktober 2019 pula beliau telah diberi kepercayaan dari Coach Mohd Noor dan Coach Mohamad Isa untuk berkongsi dalam salah satu slot bersama para pendidik Sains sekolah menengah dan rendah di PPD Kuala Pilah. Ini merupakan peluang yang sangat berharga dalam diri beliau untuk terus menerus menimba ilmu dalam bidang pendidikan ini tanpa pernah rasa ingin patah balik ke dunia yang pernah ada sikap skeptikal itu dahulu.

Kemudian, pada 7 Disember 2019 merupakan hari bersejarah dalam hidup Chegu Nurul yang tanpa sedar mampu mencipta kejayaan dalam bidang tutoring yang baru dia terokai secara sepenuh masa ini saat beliau diumumkan mendapat anugerah ‘Rising Star Tutor 2019’ pada Simposium Tutor Profesional Malaysia 2019.

Berkat kesabaran, pengorbanan, semangat juang dan doa daripada ibu ayah dan orang sekeliling, satu persatu kejayaan yang dicipta oleh Chegu Nurul dalam bidang pendidikan ini. Pada tahun 2020 ini, beliau bukan sahaja dapat mencipta kerjaya sendiri malah dapat mencipta peluang kerjaya untuk tutor yang lain dalam bersama-sama dalam perjuangan yang baru sahaja bermula ini.

Antara ayat yang sering kali keluar dari mulutnya ialah,

“Hargailah prosesmu, bukan hasilmu kerana Allah memandang setiap usaha yang kita perjuangkan bukanlah semata-mata hasil yang bakal kita dapat”

Jika beliau yang dahulunya dikatakan tiada ilmu yang cukup untuk terus bangkit mampu pergi lebih jauh, apatah lagi anda yang sedang membaca ini mempunyai pengalaman yang lebih banyak dalam dunia ini, pasti mampu lakukan !

“Kenapa perlu lagi menoleh ke belakang, jika memandang terus ke depan itu lebih mudah untuk memandu perjalanan kita ke jalan kejayaan”

Sekian, secebis coretan ikhlas Chegu Nurul buat anda untuk terus bangkit dalam perjuangan.

Assalamualaikum !

-Cikgu Nurul a.k.a Chegu Beeha-

Bina kerjaya dan kembangkan Potensi anda dengan Modul sendiri Legend Blueprint Mentorship

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here